My Account

ROMBONGAN HAJI 1435H BERSAMA AL-HABIB NAQJAMUDDIN BIN SYED OTHMAN AL-KHERED


Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya
Khamis, 18 september 2014
23 zulkaedah 1435H

Alhamdulillah, para jemaah haji sedang khusyuk mendengar taklimat yang sedang disampaikan oleh Al-Habib Naqjamuddin Bin Syed Othman Al-Khered sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekkah.


Lapangan Terbang Terminal Haji, Jeddah Mekkah
Jumaat, 19 september 2014
24 zulkaedah 1435H
Alhamdulillah para jemaah haji telah selamat sampai di Terminal Haji,Jeddah Mekkah.

Nada Al-Deafah Hotel, Mekkah
Jumaat, 19 september 2014
24 zulkaedah 1435H

Alhamdulillah, para jemaah haji telah selamat sampai di Nada Al-Deafah Hotel pada jam 5.00pm. Sebelum mengerjakan umrah pada jam 9.00pm para jemaah berkumpul di surau hotel bagi mendengar tazkirah oleh Yang Berbahagia Al-Habib Naqjamuddin bin Syed Othman Al-Khered.

 

Nada Al-Deafah Hotel, Mekkah
Ahad, 21 september 2014
26 zulkaedah 1435H

Alhamdulillah,para tetamu Allah sedang khusyuk mengikuti pengajian surah Al-Kahfi di surau hotel dengan bimbingan Yang Berbahagia Al-Habib Naqjamuddin bin Syed Othman Al-Khered.

 

Nada Al-Deafah Hotel, Mekkah
Rabu, 01 oktober 2014
07 zulhijjah 1435H

Alhamdulillah, para tetamu Allah diberikan taklimat dan bimbingan oleh Tuan Haji Syed Mohd Ashraf Bin Syed Hamid Al-Khered, sebelum berangkat ke Mina.

 

Mina
Khamis, 02 oktober 2014
08 zulhijjah 1435H

8 Zulhijjah dikenali sebagai Hari Tarwiyah.Jemaah menuju ke Mina pada hari ini, mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, selepas waktu Asar para jemaah memasang niat haji tamattuk dan bertolak dari Hotel Nada Deafah ke Mina dengan menaiki bas yang disediakan.Jemaah sempat menunaikan solat Maghrib & Isya' secara berjemaah berimamkan Habib Naqjamuddin. Sesi tazkirah dan pengisian jiwa turut diadakan sebelum jemaah berehat & tidur.

Hari Tarwiyah dinamakan hari berfikir, kerana pada hari ini, Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah dari Allah swt supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail.Seharian Nabi Ibrahim memikirkan tentang mimpi itu.

Keistimewaan hari Tarwiyah adalah, barangsiapa berpuasa pada hari tersebut, diganjarkan pahala yang hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui banyaknya.

 

Arafah
Jumaat, 03 oktober 2014
09 zulhijjah 1435H

9 zulhijjah atau Hari Arafah. Dinamakan Hari Arafah kerana pada hari ini,jemaah haji akan melakukan salah satu rukun haji iaitu wukuf. Wukuf bererti berada di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah.Jika gagal untuk berada di Padang Arafah pada tarikh ini,maka ibadah haji nya tidak sah.

Alhamdulillah,para jemaah sudah selamat tiba di Arafah pada jam 7 pagi tadi(waktu Mekkah).Jemaah sudah menempatkan diri dan berehat di khemah yang disediakan sementara menunggu waktu wukuf selepas waktu Zohor nanti (waktu Mekkah)

Hari Arafah adalah hari istimewa kerana ianya adalah hari di mana Allah swt, paling banyak membebaskan hambaNya dari neraka(HR Muslim)

Allah juga memuji orang yang wukuf di Arafah."Sesungguhnya Allah swt memuji mereka yg sedang wukuf di Arafah dan berkata kepada penduduk langit, "lihatlah hamba-hambaKu sedang datang kepada Ku(HR Ahmad)

Adalah digalakkan berpuasa pada Hari Arafah kepada orang yang tidak menunaikan haji. Dimana Allah memberi keampunan atas dosa setahun lalu & dosa setahun akan datang(HR Muslim)

 

Arafah
Jumaat, 03 oktober 2014
9 zulhijjah 1435H

Tanggal 9 Zulhijjah merupakan tarikh penting dimana jemaah wukuf di padang arafah. Kemuncak wukuf di arafah adalah ketika khutbah arafah / khutbah wukuf disampaikan pada waktu zuhur.

Alhamdulillah, jemaah Wira Saujana Travel & Tour (WSTT) sudahpun mendengar khutbah pada waktu zuhur (waktu tempatan) sebentar tadi.

Mengimbau kembali peristiwa wukuf di arafah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. pada hari jumaat 9 Zulhijjah tahun ke 10H, baginda menyeru umat manusia supaya mendengar dengan teliti apa yang bakal disampaikan oleh baginda, kerana baginda tidak akan bersama lagi dengan umatnya di padang arafah pada tahun-tahun mendatang.

Baginda juga menyeru umatnya supaya memegang amanah. Peringatan tentang pengharaman riba, dan mengharamkan untuk sesiapa mengkhianati kehormatan atau harta antara satu sama lain, sebagaimana diharamkan hari arafah dan diharamkan kota mekkah.

Baginda juga memberi peringatan supaya sentiasa bertakwa kepada Allah, mengingatkan bahawa kaum wanita adalah amanah Allah yang wajib dilaksanakan haknya secara baik.

Baginda meninggalkan umatnya hanya dengan dua perkara, jika dipegang keduanya kita tudak akan sesat selamanya, iaitu Al;Quran dan Sunnah baginda.

Sesungguhnya tidak akan ada lagi nabi selepasku dan tidak akan ada lagi umat lain selepas ini. Maka ingatlah, sembahlah tuhanmu, solat 5 waktu sehari semalam, berpuasa dibulan ramadhan, tunaikan zakat harta dengan kerelaan jiwa, mengerjakan ibadah haji ke baitullah, dan taatilah pemimpin yang mengendalikan urusanmu nescahaya kamu akan mendapat syurga Tuhanmu.

 

Mabit di Mudzalifah
Sabtu, 04 oktober 2014
10 zulhijjah 1435H

Mabit di muzdalifah adalah wajib haji yang ke-3. ianya bermaksud berada dibumi muzdalifah. Walaupun seketika mulai separuh malam 10 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar hari tersebut.

Jemaah Wira Saujana Travel (WSTT) telah bertolak ke muzdalifah selepas waktu maghrib 9 Zulhijjah. Jarak di antara arafah ke muzdalifah hanya 15 kilometer. Walaubagaimanapun, perjalanan telah mengambil masa selama 2 hingga 3 jam pada musim haji, kerana kesesakan lalulintas yang teramat sangat. Jemaah juga mengutip batu kerikil minimum sebanyak 7 biji untuk kegunaan melontar jamratul aqabah, setibanya di MIna nanti.

Diantara amalan sunat yang boleh dilakukan ketika mabit dimudzalifah adalah bertalbiah, berdoa, berzikir, solat sunat dan mengutip anak batu (untuk kegunaan melontar).

 

Jamratul Aqabah
Sabtu, 04 oktober 2014
10 zulhijjah 1435H

Pada tarikh 10 Zulhijjah, para jemaah akan melontar hanya di Jamrah Aqabah sebanyak 7 biji batu. Setelah selesai melontar, para jemaah bolehlah bertahlul awal iaitu bercukur @menggunting rambut (minimum 3 helai).

Alhamdulillah, jemaah haji Wira Saujana Travel telah menuju ke Mina selepas subuh (waktu tempatan) dan selesai melontar di Jamratul Aqabah.

Setelah melakukan tahalul awal, para jemaah telah bebas dari ihram yang 10, iaitu:

-menutup kepala bagi lelaki
-memakai pakaian berjahit bagi bagi lelaki
-memakai sarung tangan bagi lelaki dan wanita
-memakai sarung kaki bagi lelaki dan wanita
-menutup muka bagi lelaki dan wanita
-memakai wangi-wangian
-memakai minyak rambut
-memotong kuku
-mematahkan, menebang, atau mencabut ranting pokok
-memburu, menyembelih atau membunuh binatang yang halal dimakan

 

Kompleks Jamrah
Ahad, 05 oktober 2014
11 zulhijjah 1435H

Pada tarikh ini, jemaah haji akan bermalam (mabit) di Mina yang mana ianya merupakan wajib haji ke 5.

Bagi yang melakukan Nafar Awal, mereka akan mabit selama 2 malam (11 & 12 zulhijjah). Manakala bagi yang melakukan Nafar Thani, mereka akan mabit selama 3 malam (11,12 &13 zulhijjah).

Alhamdulillah, jemaah WSTT telah selamat mabit di Mina selama 3 malam bagi melakukan Nafar Thani. Pada waktu mabit ini juga jemaah melakukan wajib haji yang ke 6, melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu jamrah Sugra, Wusta, & Aqabah.

Hikmah melontar adalah bersempena mengambil iktibar daripada perbuatan Nabi Ibrahim a.s. mengusir syaitan. Ianya juga mengingatkan umat Islam menentang musuh-musuh Allah dan musuh-musuh Islam yang ada disekeliling kita.

 

Kompleks Jamrah
Selasa, 07 oktober 2014
13 zulhijjah 1435H

Hari terakhir berada di Mina. Setelah selesai melontar ketiga-tiga jamrah, para jemaah akan bersiap sedia untuk pulang ke Mekkah untuk menyempurnakan ibadah haji mereka.

Jemaah Wira Saujana Travel & Tours (WSTT) sudah pun selesai melontar di ketiga-tiga jamrah dan bersiap sedia untuk pulang ke Mekkah bagi menyempurnakan rukun haji yang seterusnya iaitu tawaf iffadah dan sai'e haji (mengerjakan haji tamattuk).

Setiap orang yang mengerjakan ibadah haji pastinya mengharapkan haji yang mabrur. Sabda Rasulullah SAW," Haji yang mabrur itu tiada balasan yang lain kecuali syurga." (Hadis daripada Abu Hurairah r.a)

Semoga para jemaah WSTT khususnya dan seluruh jemaah haji umumnya dikurniakan haji yang mabrur oleh Allah SWA. Sama-samalah kita berdoa untuk mereka.


nada deafah
mekkah 11 oktober 2014
17 zulhijjah 1435H

Alhamdulillah, para jemaah telah kembali ke hotel. Jemaah terus bersama dibawah bimbingan Al-Habib Naqjamuddin Bin Syed Othman Al-Khered menelaah kitab Assyamail Al-Muhammadiah bagi mendalami keperibadian Rasulullah SAW.

 

hudaibiyah
13 oktober 2014
19 zulhijjah 1435H

Antara jemaah haji yang berziarah ke Hudaibiyah bergambar kenangan dengan Tuan Haji Syed Mohd Ashraf Bin Syed Hamid Al-Khered, petugas haji Wira Saujana Travel yang mengiringi mereka di sana.

 

al umrah, mekkah
21 oktober 2014
27 zulhijjah 1435h

majlis kenduri kesyukuran sempena selesainya ibadah haji oleh para jemaah yang dimuliakan.

 

jabal nur, mekkah
22 oktober 2014
28 zulhijjah 1435

alahamdulillah, para jemaah berkesempatan mendaki jabal nur dan memasuki ke dalam gua hira' (tempat Rasulullah SAW mendapat wahyu yang pertama daripada malaikat Jibril AS).

 

Hotel Nada Deafah, Mekah
24 Oktober 2014
30 Zulhijjah 1435H

Sebagai menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh pihak Hotel kepada para jemaah haji Wira Saujana Travel, Tuan Haji Syed Ashraf Bin Syed Hamid Al-Khered telah menyampaikan sebuah cenderahati kepada Encik Farouk, pengurus hotel Nada Deafah.

 

Masjid Nabawi
25 Oktober 2014
1 muharram 1436H

Alhamdulillah, para jemaah haji berpeluang mengikuti ziarah dalam di masjid Nabawi bersama Yang Bahagia Al-Habib Naqjamuddin Bin Syed Othman Al-Khered.

 

Raudhah, Masjid Nabawi
25 Oktober 2014
01 muharram 1436H

Alhamdulillah, para jemaah haji wanita telah dibawa menziarahi makam baginda Rasulullah SAW yang tercinta. Selawat dan salam kepada baginda dan para sahabatnya.

 

Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Madinah
27 Oktober 2014
03 muharram 1436H

Alhamdulillah, kelihatan jemaah sedang enak menjamu selera di salah sebuah restoran di Hotel Al-Madinah Movenpick.

 

Jabal Uhud, Madinah
27 Oktober 2014
03 muharram 1436H

Alhamdulillah,para jemaah berkesempatan mengikuti ziarah luar madinah yang dipimpin oleh Yang Berbahagia Al-Habib Naqjamuddin Bin Syed Othman Al-Khered.

Salah satu tempat lawatan yang diziarahi adalah Jabal Uhud (Bukit Uhud) dimana disinilah berlakunya sejarah peperangan yang dahsyat di antara tentera muslimin dengan tentera musyrikin.

Peperangan uhud ini berlaku kerana kaum musyrikin merancang untuk membalas dendam ke atas kekalahan mereka dalam perang badar pada bulan ramadhan tahun ke-2 hijrah. Tentera muslimin pada masa itu berjumlah 700 orang dengan hanya dilengkapi dengan 2 ekor kuda dan 100 perisai pertahanan telah menentang tentera musyrikin yang berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan perang sebanyak 3,000 ekor unta, 200 ekor kuda dan 700 perisai pertahanan.

Dengan ketentuan Allah, bumi Uhud telah telah menjadi saksi gugurnya bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah Bin Abdul Mutalib RA syahid demi memperjuangkan dan mempertahankan Islam.

 

Lapangan Terbang KLIA,
Ahad,02 nov 2014
09 Muharram 1436H
 
Syukur alhamdulillah,rombongan jemaah haji telah selamat tiba kembali ke tanah air setelah sebulan lebih berada di bumi al-haramain menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah SAW.
Para jemaah amat berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang diterima sepanjang berada di tanah suci.
Dikesempatan ini warga WSTT mengucapkan tahniah dan selamat pulang kepada Haji dan Hajjah sekalian.Semoga kepulangan kalian membawa bersama seribu keberkatan.